



RTB Media Carnival 2010 (RTBMC 2010) adalah merupakan projek terbesar Radio Televisyen Brunei (RTB) yang dibentuk khas sebagaimana perancangan jabatan untuk sentiasa berinteraksi dan mesra bersama pelanggannya sepertimana jua slogan jabatan iaitu untuk Sentiasa Bersama Biskita. Dengan objektif untuk memberikan peluang kepada orang ramai menyaksikan, mengetahui dan mempelajari dengan lebih dekat lagi bagaimana RTB beroperasi, rancangan-rancangan perkembangan dan produk-produk baru RTB, para pengunjung juga akan berpeluang untuk berinteraksi dengan ahli-ahli keluarga RTB bagi menyaksikan dan mengetahui dengan lebih dekat akan kebolehan dan kepakaran mereka masing-masing dalam bidang penyiaran.
RTBMC 2010 kali ini akan diadakan di Pusat Persidangan Antarabangsa Berakas (ICC) pada 27hb. sehingga 31hb. Januari, 2010 dengan dimuatkan dengan berbagai acara dan aktiviti yang pastinya akan berinformasi dan menghibur dimana para pengunjung boleh sertai disepanjang karnival tersebut samada bersama keluarga ataupun rakan-rakan.
Awda akan berpeluang mengetahui akan projek perkembangan RTB untuk menuju kearah Perkhidmatan Penyiaran Digital TV, Media Baru, penggunaan teknologi High Definition dan sebagainya; dan yang paling menarik sekali ialah peluang awda untuk terlibat sama didalam rancangan siaran langsung samada di Radio atau di TV, dan mengetahui bagaimana rasanya untuk menjadi seorang Penyampai Berita / menjadi seorang DJ / Engineering Crew dan sebagainya.
RTBMC 2010 juga akan menyediakan berbagai aktiviti hiburan bagi semua peringkat umur seperti kuiz-kuiz, hiburan nyanyian, bertemu dengan artis-artis tempatan yang hebat pada masa kini dan yang paling menarik ialah awda berpeluang untuk menonton atau menampilkan Bakat-Bakat awda melalui pertandingan Amplified (pertandingan kugiran), I Got Talent ! (pertandingan samada menyanyi/bermain alat musik/silap mata/dan lain2), Seni Sandiwara (pertandingan berlakon), Ingat-Ingat Lupa! dan lain-lain. Untuk makluman, bagi menyertai pertandingan-pertandingan yang disebutkan, awda dikehendaki untuk mendaftar dan bolehlah mendapatkan maklumatnya melalui promo-promo RTB samada melalui Radio, TV dan juga laman web www.rtb.gov.bn.
Bagi menjayakan RTBMC 2010 kali ini, Radio Televisyen Brunei bersama rakan penganjur Sunlit Advertising Sdn. Bhd. akan bekerjasama untuk mengendalikan dan menjayakan acara ini nanti. Rakan Penganjur juga akan mengendalikan aktiviti-aktivitinya yang menarik dan menyeronokan seperti Winter Park, Kids Wonderland dan sebagainya.
Kemuncak RTBMC 2010 ialah Majlis Malam Anugerah 2009 yang mana akan diadakan secara langsung di Dewan Utama (Main Conference Hall) Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC) pada malam Sabtu, 30hb. Januari 2010 dan juga akan disiarkan secara langsung di televisyen. Malam Anugerah 2009 ini ialah salah satu program RTB untuk memberikan pengiktirafan kecemerlangan kepada mereka-mereka yang berjaya menampilkan bakat dan seterusnya bejaya didalam industri penyiaran dan hiburan. Acara ini adalah merupakan saat yang penuh gemilang dan bermakna bagi para Artis, Pelakon, Penyampai Radio & TV dan Penerbit Tempatan.