Sejarah Islam

 

KISAH KELAHIRAN BAGINDA RASULULLAH SHALLALLAHU 'ALAIHISSALAM


Rasulullah Shallallahu ‘Alaihissalam atau Muhammad bin Abdullah bin Abdul Muthalib bin Hisyam bin Abdi Manaf bin Qusai bin Kilab, sehinggalah bertemu nasab baginda kepada Ismail bin Ibrahim ‘Alaihimassalam telah dilahirkan pada hari Isnin, 12 Rabi’ulawal bersamaan dengan 20hb. April, 571 Tahun Gajah.

Menurut Ibnu Sa’ad, Aminah menceritakan pengalaman beliau ketika melahirkan Sayyidina Muhammad; “Daripada bahagian tubuhku iaitu anak yang lahir tersebut keluar satu cahaya sangat terang yang kelihatannya dapat menyinari seluruh bumi. Anak yang ku lahirkan itu berkeadaan suci bersih”.

Dan telah diceritakan bahawa di kala Nabi Muhammad Shallallahu ‘Alaihissalam dilahirkan bintang terang gemerlapan mendekati bumi tandus, sehingga terang benderanglah seluruh dataran dan pergunungan Tanah Makkah al-Mukarramah. Di saat itu, Nabi Muhammad Shallallahu ‘Alaihissalam dilahirkan ke dunia dalam keadaan bertiarap, kedua tangannya tertunjang ke bumi dan kepalanya pula mendongak ke langit. Dan dalam riwayat yang lain pula, iaitu menurut Muhammad bin Ishak, Rasulullah Shallallahu ‘Alaihissalam seolah-olah sujud kepada  Allah Subhanahu wa Ta’ala.

Di samping itu, juga telah diriwayatkan bahawa baginda Rasulullah Shallallahu ‘Alaihissalam dilahirkan dengan tersedia berkhatan dan tali pusat yang sudah dipotong dan semua hal berikut dilakukan oleh malaikat Jibril ‘Alahissalam dengan perintah Allah Subhanahu wa Ta’ala. Semua ini merupakan bukti tanda keagungan dan kesucian baginda Rasulullah sebagai manusia yang penuh maksum atau ‘dalam keadaan terpelihara serta dilindungi oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala, meskipun baru sahaja dilahirkan ke dunia.

Pelbagai kejadian pelik berlaku ketika baginda Rasulullah dilahirkan antara yang telah diriwayatkan ialah...
Istana Kota Basrah yang terletak di Syria tiba-tiba diterangi oleh sinar cahaya yang sangat terang datang dari arah langit.

Dikatakan juga pada malam kelahiran baginda, berhala-berhala yang terdapat di situ mengalami kerosakan dan kemusnahan. Menurut riwayat daripada Abdul Mutalib; “Ketika aku sedang berada di Kaabah, tiba-tiba berhala jatuh dari tempatnya dan sujud kepada Allah. Lalu aku mendengar suara dari dinding Kaabah berkata, telah lahir nabi pilihan yang akan membinasakan orang kafir dan mensucikanku daripada berhala-berhala ini dan akan memerintahkan penyembahan Yang Maha Mengetahui.''

Manakala, Istana Kisra iaitu Raja Farsi, yang merupakan kerajaan paling besar ketika itu bergegar oleh gempa bumi yang berlaku, di mana ianya telah mengakibatkan 14 anjung istana runtuh dan api yang selama ini disembah oleh Majusi sejak beribu tahun lamanya, yang tidak pernah padam sebelum ini tiba-tiba terpadam dengan sendirinya. Gempa bumi tersebut juga menyebabkan tasik yang digelar ‘Sawwah’ yang terletak berdekatan denga Istana Raja Farsi itu tertimbus.

Bercerita mengenai kejadian bencana ini, hal tersebut telah menimbulkan rasa takut dan khuatir di dalam diri Raja Farsi. Lalu ia memanggil ahli-ahli nujum dan pendeta-pendetanya yang boleh berhubung dengan makhluk jin, di mana dikatakan bahawa makhluk-makhluk jin pada zaman sebelum kelahiran baginda Rasulullah Shallallahu ‘Alaihissalam boleh naik ke langit dan mendengar berita di langit mengenai apa yang berlaku di bumi. Merekalah yang memberitahu berita-berita ini kepada pendeta-pendeta dan ahli nujum membuat ramalan mereka. Perkara ini ada disebutkan di dalam al-Quran Surah al-Jin ayat 9:
 

Tafsirnya:

"Padahal sesungguhnya kami dahulu biasa menduduki tempat-tempat (perhentian) di langit untuk mendengar (percakapan penduduknya); maka sekarang sesiapa yang cuba mendengar, akan mendapati api yang menyala yang menunggu merejamnya".

 

Kemudian salah seorang pendeta yang dipanggil memberitakan kepada Raja Farsi bahawa ia telah dikhabarkan oleh jin suruhannya, peristiwa itu berlaku kerana kelahiran seorang anak kecil yang bakal menjadi nabi dan rasul kelak. Raja Farsi yang sedang dilanda kekhuatiran dan kegelisahan kemudiannya menanyakan apakah makna 14 batang anjung istana yang runtuh sedangkan yang lain kekal berdiri tegak?

Pendeta tersebut mengatakan bahawa kejadian tersebut adalah merupakan tanda bahawa Kerajaan Farsi hanya akan dapat bertahan lagi selama 14 orang raja atau kisra sahaja lagi dan selepas itu ianya akan jatuh.

Mendengar penjelasan pendeta tersebut, Raja Farsi beranggapan bahawa perkara itu tidak perlu dirisaukan kerana ia menjangka dan beranggapan tempoh 14 orang kisra yang bakal memerintah adalah tempoh yang masih panjang serta kejatuhan Kerajaan Farsi akan berlaku lama lagi.

Anggapan tersebut sebenarnya meleset kerana selepas sahaja kematian kisra ini, perebutan kuasa di kalangan anak-anaknya terjadi dan dalam tempoh 4 tahun sahaja selepas kematiannya, 10 orang kisra telah memerintah Kerajaan Farsi. Itulah berita gembira bagi bangsa Arab dan penduduk yang ditakluki oleh Kerajaan Farsi.

Begitulah serba ringkas kisah kelahiran Nabi Junjungan kita Nabi Muhammad Shallallahu ‘Alaihissalam serta peristiwa-peristiwa ganjil yang merupakan tanda kelahiran seorang manusia agung. Kelahiran seorang yang menjadi idola dan contoh terbaik di dalam segala aspek kehidupan.

 

Disediakan Oleh:

Unit Media Elektronik
Pusat Da'wah Islamiah
 

| Home | iSinar| RtbCity |