Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News Articles

Title
Page Content

BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 19 Januari 2019. - Hasil kajian audiens 2017 mendapati sejumlah 72 peratus rakyat negara ini mengikuti siaran televisyen Radio Televisyen Brunei (RTB) berbanding dengan jumlah 78 peratus pada tahun 2016, sementara jumlah pendengar radio RTB meningkat dari 85 peratus pada tahun 2016 kepada 90 peratus pada tahun 2017.

 

RTB akan sentiasa merujuk kepada dapatan hasil kajian audiens sebagai asas dan pendorong untuk terus mencari jalan dan berusaha melaksanakan program-program pembaikan berterusan ke arah memastikan siaran televisyen dan radio serta perisiannya masih relevan dan memenuhi citarasa masyarakat penonton dan pendengar.

 

Pengarah RTB, Awang Haji Muhammad Suffian bin Haji Bungsu selaku tetamu kehormat majlis, menyatakan mengenai perkara itu dalam ucapan perasmiannya di Majlis Pelancaran Karnival RTB 2019 anjuran Jabatan RTB yang berlangsung di Atrium Airport Mall, Berakas, hari ini.

 

Menurutnya lagi, sepertimana stesen-stesen penyiar serantau, RTB turut berhadapan dengan pelbagai cabaran yang perlu diatasi lebih-lebih lagi dalam era kemajuan teknologi komunikasi yang pantas, lanskap penyiaran yang sentiasa berubah serta ekspektasi masyarakat yang semakin meningkat.

 

Justeru tambahnya, RTB sedang berusaha merancang dan menyasarkan tumpuan pembaikan kepada tiga bidang kecemerlangan iaitu Kecemerlangan Operasi; Kecemerlangan Produktiviti; dan Kecemerlangan Organisasi.

 

Dalam bidang Kecemerlangan Operasi, RTB telah melaksanakan beberapa pencapaian penting ke arah memastikan kualiti teknikal siaran dapat dipertingkatkan antaranya termasuk penutupan siaran televisyen analog dan berhijrah sepenuhnya ke siaran digital HD mulai 1 Januari 2018.

 

Di samping itu, RTB juga telah menggunakan perkhidmatan 'online streaming' bagi acara-acara kenegaraan selain turut menubuhkan jawatankuasa adhoc untuk membuat penelitian terperinci bagi memperkenalkan perkhidmatan OTT (Over The Top) televisyen Brunei seperti di negara jiran.

 

Bagi Kecemerlangan Produktiviti pula, antara langkah yang diambil adalah pengemaskinian dan penjenamaan semula saluran-saluran televisyen menjadi RTB Perdana, RTB Aneka dan RTB Sukmaindera.

 

Manakala dalam bidang Kecemerlangan Organisasi dan Modal Insan, penekanan tertumpu kepada penggunaan sumber manusia yang optimum yang mempunyai gabungan kepakaran dan juga 'multi-skilling' serta 'multi-tasking'.

 

Memandangkan betapa beratnya tanggungjawab dan luasnya peranan media penyiar, Pengarah RTB turut menekankan peningkatan ilmu pengetahuan, di samping mempelajari kaedah-kaedah terbaru juga adalah perlu dalam meningkatkan lagi kualiti dan perlaksanaan tugas masing-masing dengan lebih baik dan berkesan.

 

"Kita adalah pakar dalam bidang penyiaran justeru penghasilan pakar-pakar ini mesti berdaya maju untuk membangunkan pelapis masa hadapan. Kita juga tidak boleh bergantung kepada segelintir warga sahaja, sebaliknya semua warga harus berganding bahu dan bersatu sebagai satu pasukan yang kukuh dan bersatu," jelas beliau lagi.

 

Juga hadir sama pada majlis tersebut ialah para penaja; para Pengurus Syarikat Penerbitan Tempatan; pegawai-pegawai Perhubungan Awam Kementerian-kementerian dan jabatan-jabatan; Ketua-ketua Kampung Mukim Berakas 'B'; para peniaga; pegawai-pegawai kanan serta kakitangan kerajaan.

 

Majlis terdahulunya dimulakan dengan bacaan Doa Selamat yang kemudian diikuti dengan persembahan Sketsa Masam-Masam Manis dan seterusnya Ucapan Pelancaran Karnival RTB 2019 oleh Pengarah RTB sebelum membuat kunjungan ke petak-petak pameran.

 

Karnival RTB 2019 diadakan selama dua hari bermula hari ini dan esuk, Ahad,  20 Januari 2019 dari 10.00 pagi hingga 10.00 malam.

 

Orang ramai yang hadir berpeluang melawat pameran dari bahagian-bahagian RTB mengenai perkhidmatan dan produk RTB dan ikut serta dalam aktiviti-aktiviti yang disediakan antaranya Brunei Siok, Roda Saluran, Bersama Artis, Persembahan Wushu, Bermukun, Drama Sitcom, Roadshow Akulah Juara, Kuiz Pengunjung, Peraduan Make-Up, Tazkirah, Talk Generasi 914, Pentas Best 914 dan Sesi Percubaan Membaca Berita.

 

Selain itu, sebahagian pengusaha-pengusaha Mikro, Kecil dan Sederhana (MSME) turut terlibat mengadakan jualan sempena karnival ini bermula pada sebelah petang hari Jumaat 18 Januari 2019 di tempat yang sama.

 

Objektif Karnival adalah untuk membarigakan kepada orang ramai mengenai perkembangan RTB; mempromosikan rancangan-rancangan radio dan TV; mendekati orang ramai dengan hiburan dan uji bakat serta menyokong dan memperkembangkan inisiatif-inisiatif industri kreatif dan pengusaha-pengusaha tempatan.


Attachments