Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News Articles

Title
Page Content

BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 12 Januari 2019. - Radio Televisyen Brunei (RTB) ialah penyiar dan lidah kerajaan, sebagai penghubung di antara kerajaan dan orang ramai melalui maklumat untuk menjadikan masyarakat bermaklumat bagi kepentingan masyarakat itu sendiri untuk maju dan menyumbang kepada pembangunan negara.


Sehubungan itu, Jabatan RTB perlulah merangka strategi bagi memastikan ia sentiasa relevan, menarik, disukai, digemari dan memberikan kepuasan kepada penonton dan pendengar bagi setiap program radio dan televisyen yang diterbitkan dan disiarkan.


Perkara tersebut dijelaskan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Mokti bin Haji Mohd. Daud semasa menyampaikan ucapannya pada sesi lawatan ke Jabatan Radio Televisyen Brunei, Jalan Stoney, Bandar Seri Begawan, di sini.


Ketibaan Yang Berhormat Menteri dialu-alukan oleh Pengarah Radio Televisyen Brunei, Awang Haji Muhammad Suffian bin Haji Bungsu dan Pegawai-pegawai Kanan RTB.


Lawatan Yang Berhormat dimulakan dengan sesi taklimat yang disampaikan oleh Pengarah RTB, antara lain menyentuh mengenai peranan, visi, misi dan perkembangan juga hubungan jabatan dengan media-media antarabangsa.


Sejurus selesai taklimat, Yang Berhormat Dato seterusnya dibawa untuk melihat siaran langsung Rampai Pagi di Studio 1 dan kemudiannya bergerak ke Studio 2, Galeri-galeri Studio dan Studio 3.


Lawatan diteruskan lagi ke Bahagian Berita dan Hal Ehwal Semasa dan Pertukaran Berita, yang mana Yang Berhormat mendengarkan proses gerak kerja di bahagian berkenaan dan melihat lebih dekat bagaimana kerja-kerja penyiaran, penyuntingan dan pertukaran berita dilaksanakan.


Yang Berhormat Menteri kemudiannya membuat lawatan ke konti-konti rangkaian radio, Pilihan FM; Nasional FM; Pelangi FM; Nur Islam dan Harmoni FM untuk mengetahui pengisian program setiap rangkaian berkenaan.


Melalui kunjungan tersebut, Yang Berhormat menyaksikan bagaimana penyampai-penyampai radio berinteraksi bersama pendengar di seluruh negara dengan mengamalkan sopan santun dan tatasusila ketika berbual bicara dengan pendengar di radio.


Sesi lawatan tersebut diakhiri dengan Yang Berhormat dijemput untuk merasmikan Buku Kajian Audiens 2016 - 2017, yang mana buku tersebut merupakan kompilasi kajian projek tahunan jabatan yang dibuat terhadap audiens pada tahun 2016 dan 2017.

Attachments