Majlis Penyampain Hadiah Cabutan Bertuah Kajian Audiens RTB 2024 |
Sungai Akar, 23 November - Radio Televisyen Brunei (RTB) telah mengadakan Majlis Penyampaian Hadiah Cabutan Bertuah bagi Kajian Audiens 2023/2024 bertempat di Kompleks Penyiaran RTB, Sungai Akar.
Majlis ini diadakan sebagai tanda penghargaan kepada penyertaan dan sumbangan peserta kajian, di samping meraikan para pemenang cabutan bertuah tersebut.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah, diikuti dengan ucapan alu-aluan daripada Ketua Bahagian Penyelidikan dan Perkembangan, Yang Mulia Puan Lim Kim Dien.
Dalam ucapannya, beliau menekankan kepentingan maklum balas audiens dalam memperkukuhkan strategi RTB serta meningkatkan kualiti kandungan dan program penyiaran agar lebih selaras dengan keperluan dan pilihan audiens.
Kemuncak majlis adalah penyampaian hadiah kepada 15 pemenang cabutan bertuah yang disempurnakan oleh Pemangku Pengarah RTB, Yang Mulia Pg Hj Ismail bin Pg Hj Muhammad Kifli.
Majlis tersebut turut dihadiri oleh Ahli Jawatankuasa Pengurusan RTB, pegawai, dan kakitangan, yang menggambarkan komitmen bersama RTB dalam mencapai kecemerlangan penyiaran.
Kajian Audiens 2023/2024 merupakan inisiatif penting RTB dalam usahanya untuk terus melibatkan masyarakat, memahami citarasa audiens, dan mempertingkatkan perkhidmatan penyiaran di televisyen, radio, serta platform digital.
Kajian ini telah dijalankan dari 1 Mei 2024 hingga 31 Ogos 2024 dan menerima sambutan yang memberangsangkan, membuktikan penglibatan aktif dan kepercayaan masyarakat terhadap inisiatif RTB.
Hasil kajian ini memberikan pandangan yang bernilai kepada RTB mengenai tahap penglibatan audiens, jangkaan mereka, dan corak penggunaan media. Maklum balas ini amat penting untuk menilai keberkesanan kandungan RTB, mengenal pasti ruang penambahbaikan, serta mencetuskan inovasi agar terus relevan dalam landskap media yang sentiasa berubah.
Penemuan daripada kajian ini akan menjadi panduan bagi RTB dalam memperhalusi strategi untuk terus menyediakan program berkualiti yang memenuhi keperluan pelbagai lapisan masyarakat di Negara ini.
Majlis Penyampaian Hadiah ini bukan sahaja menandakan kejayaan pelaksanaan kajian, malah mencerminkan penghargaan RTB terhadap peranan masyarakat dalam menentukan hala tuju penyiarannya.
Melalui kerjasama ini, RTB mengukuhkan lagi komitmennya untuk menjadi institusi media yang dipercayai dan dinamik, serta terus mendukung kecemerlangan penyiaran di Negara Brunei Darussalam.
| Attachments |
|
|